Oleh: Kementerian Pembangunan | Foto: Kementerian Pembangunan

MENTERI Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid hadir selaku tetamu kehormat majlis.
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 Mac. – Sempena memperingati Nuzul Al-Quran, Kementerian Pembangunan mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran yang diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Sumbangan Derma Kepada Anak-Anak Yatim Bagi Tahun 1446H/2025M, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dan diikuti dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan terjemahannya oleh qari jemputan dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

BACAAN ayat-ayat suci Al-Quran oleh qari jemputan dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Majlis seterusnya diisikan dengan ceramah khas sempena Nuzul Al-Quran bertajuk 'Al-Quran Sebagai Panduan' yang disampaikan penceramah undangan dari Pusat Da'wah Islamiah, Yang Mulia Ustaz Isham bin Awang Ismail.
Ceramah antara lain menyentuh mengenai kepentingan dan keperluan kita selaku umat Islam untuk sentiasa mempelajari dan memahami apa yang ada dalam kitab suci Al-Quran.

CERAMAH khas sempena Nuzul Al-Quran disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Da'wah Islamiah.
Ceramah juga turut mengingatkan mengenai keperluan untuk menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan bukan hanya untuk keduniaan tetapi juga sebagai bekalan di akhirat nanti.
Majlis kemudian diselajurkan dengan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.


YANG BERHORMAT Menteri Pembangunan menyampaikan sumbangan derma kepada anak-anak yatim.
Pada tahun ini, seramai 78 orang anak yatim yang terdiri daripada anak-anak warga Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan dibawahnya menerima sumbangan derma berkenaan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh penceramah undangan.
Turut hadir pada majlis ini ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Ketua-Ketua Jabatan, Divisyen dan Unit di Kementerian Pembangunan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.


ANTARA para jemputan yang hadir.
Majlis ini merupakan antara aktiviti keagamaan Kementerian Pembangunan di bulan Ramadhan yang bertujuan untuk memperingati dan mengagungkan peristiwa Nuzul Al-Quran.
Disamping itu, ia juga bertujuan untuk menyemai rasa tanggungjawab para pegawai dan kakitangan dalam sama-sama membantu dan memeduli anak-anak yatim.
Majlis pada tahun ini dikelolakan oleh Jabatan Pentadbiran dan Kewangan, Jabatan Kerja Raya.